fbpx

Warga emas maut motosikal ditunggang dilanggar dari belakang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal mangsa yang rosak teruk setelah dirempuh kereta dari belakang di Kilometer 62.8, Jalan Ipoh-Teluk Intan dekat Tapah hari ini.

TAPAH – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar kereta dipandu remaja perempuan berusia 17 tahun di Kilometer 62.8, Jalan Ipoh-Teluk Intan di sini hari ini.

Nahas pada pukul 4.30 petang itu mengorbankan A. Erriah, 66, yang cedera parah setelah tersangkut bersama motosikalnya pada penghadang besi tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan tersebut membabitkan motosikal Honda EX5 ditunggang mangsa dengan sebuah Perodua Viva dipandu remaja terbabit yang juga pelajar sekolah.

Katanya, ketika kejadian, kereta dinaiki remaja itu bersama seorang rakan perempuan berusia 18 tahun sedang dalam perjalanan menuju ke arah Ipoh.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta tersebut telah hilang kawalan lalu melanggar motosikal ditunggang mangsa yang berada di hadapan.

“Motosikal mangsa kemudiannya diseret menyebabkan dia tersangkut bersama motosikal ditunggangnya pada penghadang besi di bahu jalan manakala kereta itu pula terjunam ke bawah,” katanya.

Katanya, mangsa yang cedera parah maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta disyaki patah tangan dan rakannya mengalami cedera ringan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

“Siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat kereta dipandu remaja tersebut hilang kawalan lalu melanggar motosikal mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI