SEREMBAN- Tiga lelaki cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di atas jejambat berhampiran Masjid Jamek Datuk Bandar Haji Ahmad, Rasah, dekat sini, tengah hari tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat, Seremban, Hamlan Ishak berkata, kemalangan itu turut menyebabkan kedua-dua buah kenderaan tersebut iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV), Proton X70 dan sebuah lori kontraktor pemasangan terbakar 100 peratus.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.06 tengah hari dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.
“Setibanya di lokasi kami cuba memadamkan kebakaran manakala lima mangsa yang terlibat telah dikeluarkan oleh orang awam.
“Siasatan awal mendapati kemungkinan disebabkan perlanggaran kedua-dua buah kenderaan menyebabkan tangki minyak Proton X70 itu bocor. Kami menggunakan satu unit ‘foam’ untuk memadamkan kebakaran berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini tadi.
Seramai 13 anggota Balai Bomba Seremban dan Balai Bomba Seremban turut terlibat dalam kebakaran dengan menggunakan satu FRT serta water tanker digunakan untuk operasi tersebut. -K! ONLINE