KOTA TINGGI – Satu laporan polis dibuat Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) susulan aktiviti mendaki Hutan Simpan Kekal Gunung Panti tanpa permit pada 20 Disember lalu.
JPNJ dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah menerima aduan awam melalui email berkaitan aktiviti menceroboh berkenaan.
Hasil semakan jabatan mendapati gambar aktiviti itu telah dimuatnaik ke laman sesawang Facebook di atas nama Austin Glenn – Hiking Johor dengan anggaran 18 orang peserta.
“Kawasan pendakian dan rekreasi di Hutan Simpanan Kekal Panti adalah di bawah pengurusan atau seliaan jabatan itu di mana disyaki peserta telah memasuki ke hutan tersebut tanpa permit yang sah.
“Kemasukan ke kawasan tersebut tanpa Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya denda dan penjara,”katanya.
JPNJ juga memohon kepada mana-mana peserta yang terlibat untuk tampil memberikan keterangan dan rakaman percakapan dalam tempoh satu minggu.
Tindakan lanjut akan diambil pihak jabatan kepada peserta yang terlibat mengikut undang-undang sedia ada bagi memastikan perkara ini tidak berulang bagi pencerobohon di dalam Hutan Simpanan Kekal.
JPNJ turut menasihatkan orang awam agar mematuhi perundangan dan peraturan yang ditetapkan berkaitan kemasukan ke dalam mana-mana kawasan dalam Hutan Simpanan Kekal.
Jelasnya segala aktiviti pendakian dan rekreasi di dalam Hutan Simpanan Kekal perlu mendapatkan permit memasuki Hutan Simpanan Kekal yang sah sebelum aktiviti tersebut dijalankan.
Sementara itu Pengarah Perhutanan Negeri Johor, Datuk Salim Aman ketika dihubungi mengesahkan kejadian.-K! ONLINE