PETALING JAYA – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pagi tadi.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan melalui laman sosial Facebook Istana Negara, pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda dan delegasi mendarat dengan selamat pada jam 11.00 pagi.
“Sejurus keberangkatan tiba, Seri Paduka Baginda menjalani ujian saringan Covid-19 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, berdasarkan ketetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelas kenyataan tersebut hari ini.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda turut menjalani ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi sebelum berlepas berangkat ke tanah air.
Tambah kenyataan tersebut, setelah saringan Covid-19 di Kompleks Bunga Raya dilakukan, Seri Paduka Baginda turut berkenan memakai gelang kuarantin dan akan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari seperti yang ditetapkan oleh KKM.
Manakala, delegasi pula akan menjalani kuarantin diri di lokasi yang telah ditetapkan oleh KKM.
Lawatan khas selama lima hari Seri Paduka Baginda ke Abu Dhabi yang berakhir semalam adalah di atas persilaan Putera Mahkota Abu Dhabi Yang Mulia Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan. -K! ONLINE.