BAGAN SERAI – Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun berhadapan detik cemas apabila zip dompet tersangkut di celah giginya ketika sedang bermain dalam kejadian di Taman Wawasan Indah, Lembah Beriah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 11.45 pagi itu, difahamkan mangsa, Nur Isma Zulaikha Abdullah sedang bermain dengan dompet berkenaan sebelum ia tersangkut pada celah gigi bahagian atas.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.52 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Anggota mengunakan peralatan khas bagi mengeluarkan zip yang tersangkut di celahan gigi mangsa sementara mangsa ditenangkan oleh keluarganya.
“Kira-kira 10 minit masa diambil untuk mengeluarkan zip tersebut dari celah giginya,” katanya.
Menurutnya, tiada sebarang kecederaan serius berlaku terhadap mangsa dan dia diserahkan semula kepada keluarga.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12:37 tengah hari. – K! ONLINE