JAKARTA – Gara-gara cemburu buta, seorang suami bertindak menikam lelaki yang menjadi idaman isterinya di Surabaya, Jawa Timur, Indonesia kelmarin, lapor laman berita Tribun News.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Sukolilo, Inspektor Zainul Abidin berkata, suspek yang dikenali sebagai AM merupakan seorang siak masjid dan didakwa menyimpan dendam terhadap mangsa.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek didapati menikam perut mangsa dengan menggunakan sebilah pisau lipat.
“Akibat tikaman tersebut, mangsa mengalami pendarahan teruk dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Haji Surabaya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Selain itu, Zainul berkata, motif kejadian yang berlaku di sebuah kompleks asrama tersebut dipercayai akibat cemburu dan dendam.
“Suspek dipercayai berbuat demikian kerana mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.
“Pada ketika ini, pasukan penyiasat sedang memburu suspek yang telah dikenal pasti identitinya,” ujarnya. – Agensi