PASUKAN Perak Bison mencatat kemenangan kelima dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini selepas menewaskan Negeri Sembilan Antlers 21-19, 21-19 semalam.
Pada aksi di Stadium Titiwangsa itu, kedua-dua pasukan menampilkan aksi menghiburkan apabila saling berbalas serangan selain mengekori rapat mata masing-masing.
Bagaimanapun, kemasukan Heppy Itam yang menggantikan tekong, Meor Zulfikar Mat Amin pada awal set kedua dianggap wira Perak Bison apabila membantu mencatat kemenangan.
Kata Heppy, fokus serta kemahuan untuk menang berjaya membantu dia dan rakan-rakan sepasukan menampilkan aksi terbaik sekali gus menang menerusi keputusan straight set.
“Ketika masuk menggantikan Meor, memang saya sudah ada objektif tersendiri iaitu membantu pasukan untuk catat kemenangan. Terima kasih juga kepada rakan-rakan sepasukan yang memberikan fokus sepenuhnya pada perlawanan itu.
“Selain itu, kami juga memperkemaskan pertahanan dan ia sedikit sebanyak membantu kami untuk berdepan serangan pasukan lawan,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Dalam pada itu, pemain berusia 22 tahun itu menganggap gandingan bersama Amirul Ramadhan Fazillah Suhaimi dan Muhammad Azwan Muhrim adalah regu terbaik perlawanan tersebut.