PASUKAN Kuala Lumpur berjaya menandatangani dua nama besar bola sepak negara, Safee Sali dan Hadin Azman dalam usaha membantu skuad Warga Kota tampil cemerlang pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Lebih menarik, kehadiran Safee boleh dianggap sebagai sirih pulang ke gagang memandangkan dia pernah bersama Kuala Lumpur selama dua tahun bermula 2003 hingga 2005.
Kata Safee, keputusan untuk kembali menyarung jersi keramat skuad Warga Kota bukan sesuatu yang sukar memandangkan masih ada misi belum diselesaikan terutama dalam membangkitkan aura pasukan ini.
“Saya sangat teruja dapat kembali bersama Kuala Lumpur kerana pasukan ini pernah mencapai status gergasi pada era 90-an dan kini cabaran utama adalah untuk membantu pasukan meraih kedudukan positif terutama di pentas Liga Super.
“Meskipun saya bakal berusia 37 tahun musim depan, saya masih rasa seperti remaja dan secara keseluruhan, saya lihat kombinasi pemain senior dan junior pasukan ini cukup jitu,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.
Bekas pemain Petaling Jaya City (PJ City) itu dilaporkan menandatangani kontrak selama setahun manakala Hadin yang berusia 26 tahun telah ditawarkan kontrak hingga penghujung musim 2021.
Bagi Hadin pula, pemain itu berazam untuk mendapatkan kembali sentuhan emasnya seperti ketika bersama Felda United selepas gagal mempamerkan aksi diharapkan sewaktu mewakili Kedah musim ini.
“Saya gembira apabila diberikan kontrak dua tahun daripada pihak pengurusan dan saya akan berusaha untuk mendapatkan kembali momentum bagi menaikkan semula karier saya,” katanya.