PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bertemu dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi membincangkan tentang isu lanjutan automatik moratorium pinjaman bank dan pengeluaran wang Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa syarat tengah hari semalam.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan mendakwa, kerajaan PN dalam pertemuan itu memaklumkan beliau pengumuman KWSP berhubung pengeluaran skim i-Sinar sebelum ini sudah elok, malah memenuhi tuntutan beliau dan Barisan Nasional (BN) berkenaan dua isu tersebut.
“Mereka (kerajaan PN) kata pada saya mereka telah serahkan kepada Menteri Kewangan, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP dan bank-bank untuk laksana apa yang diperlukan atau menambah baik jika ada keperluan,” dakwanya dalam satu hantaran di akaun Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Najib mendakwa beliau dalam pertemuan itu telah memaklumkan kepada kerajaan PN bahawa ramai rakyat mengadu tercicir dan terbeban dengan syarat i-Sinar KWSP.
Beliau juga telah memaklumkan kerajaan PN bahawa ada bank mengambil kesempatan menambah tempoh pinjaman bagi mengaut lebih keuntungan bagi mereka yang meminta lanjutan moratorium.
“Saya kata kita harap kerajaan PN boleh buat serupa dengan moratorium pertama awal tahun ini,” katanya.
KWSP sebelum ini mengumumkan skim i-Sinar dengan beberapa kriteria ditetapkan bagi pencarum yang layak mengeluarkan wang daripada Akaun 1 KWSP mereka.
Sebilangan pihak tidak berpuas hati dengan penetapan kriteria tersebut dan mendesak pengeluaran wang Akaun 1 KSWP di bawah skim i-Sinar dibenarkan tanpa sebarang syarat. – K! ONLINE