fbpx

Pemilik ladang tertembak pekerja disangka babi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barangan yang dirampas polis susulan kes pemilik ladang tertembak pekerjanya sendiri di kawasan Kota, Negeri Sembilan petang semalam.

REMBAU – Seorang pemilik ladang tidak menyangka sasaran tembakan ke atas kelibat disangka babi liar rupa-rupanya pekerjanya sendiri dalam kejadian di sebuah kebun di kawasan Kota dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa warga Indonesia berusia 30-an mengalami kecederaan pada peha dan kaki kiri dikejarkan ke Hospital Tampin bagi mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek berusia lingkungan 70-an mendakwa ternampak kelibat seperti seekor babi liar mahu memakan buah nangka yang gugur dari pokok.

“Suspek telah melepaskan satu tembakan menggunakan selaras senapang Shot Gun jenis Bennely miliknya.

“Sejurus melepaskan tembakan, suspek terdengar suara lelaki menjerit sebelum mendapati pekerjanya yang terkena tembakan itu pada kaki dan kemudian membawa mangsa ke Hospital Tampin untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anuar berkata, suspek seterusnya membuat laporan dia tertembak pekerjanya sendiri kepada pihak polis.

Menurutnya, siasatan lanjut pihak polis mendapati suspek mempunyai lesen pemilikan senjata api.

“Polis dengan bantuan Pasukan D10 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan menjalankan siasatan di tempat kejadian dan membuat tangkapan terhadap suspek.

“Polis merampas selaras Shotgun Bennely Armi System 12 Bore S/B, satu buah beg sandang warna hitam, satu buku lesen memiliki sejata dan peluru serta 17 butir peluru penabur pelbagai jenama,” katanya.

Tambah beliau, mangsa yang mendapatkan rawatan di Hospital Tampin berada dalam keadaan stabil dan akan menjalani pembedahan untuk mengeluarkan pallet penabur.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Pihak polis memohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil memberi maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Ramlah Alidin di talian 011 10944096 atau Pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau di talian 06-6851999. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI