GEORGE TOWN – Lima beranak terpaksa menumpang teduh di dalam sebuah kereta sejak lapan bulan lalu selepas rumah mereka yang terletak di Jalan Carnarvon di sini musnah dijilat api.
Mereka ialah S. Ganesh dan isterinya, Parameswary bersama tiga anak berusia lapan bulan hingga lapan tahun.
Mereka tinggal di dalam kereta jenis Proton Iswara yang diletakkan di Padang Polo di sini.
Lebih menyedihkan, lima beranak itu terpaksa berhimpit setiap hari sejak 6 April lalu.
Ganesh tidak mempunyai pilihan kerana hanya dia seorang yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan.
Jumlah itu tidak mencukupi untuk menyewa rumah.
Mereka mendapatkan bekalan air di tandas-tandas awam di Padang Polo dan Padang Kota untuk membersihkan diri dan memasak.
Ganesh berkata, dia berasa runsing memikirkan nasib isteri dan anak-anaknya selepas permohonan untuk menduduki rumah di bawah skim Projek Perumahan Rakyat (PPR) masih belum mendapat maklum balas.
“Dua hari lalu, saya hantar semula borang permohonan dan sangat berharap kami dapat tinggal dalam rumah sebelum tahun baharu,” katanya ketika ditemui di Padang Polo semalam.
Ada ketikanya Ganesh terpaksa memberi bayinya, Kirthana meminum kopi bagi menggantikan susu kerana tidak mempunyai wang.
“Saya mempunyai tiga adik-beradik, namun mereka juga hidup susah,” katanya.
Dalam pada itu, Parameswari berkata, kebakaran yang berlaku di rumah pusaka ibu mertuanya menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.
“Saya masih hamil ketika rumah terbakar, Kirthana dilahirkan dan membesar di dalam kereta ini.
“Siapa tak sedih melihat keadaan anak-anak begini, namun kami tiada wang untuk menyewa di tempat lain kerana pendapatan suami kecil,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Ganesh di talian 011-36779438.-K! ONLINE