MOSCOW – Rusia semakin hampir untuk meluluskan undang-undang membenarkan sekatan terhadap platform media sosial seperti Facebook dan YouTube sekiranya laman berkenaan didapati menapis kandungan dihasilkan rakyat negara itu kelmarin.
Dewan Rendah Parlimen dalam satu kenyataan berkata, rang undang-undang tersebut telah diluluskan untuk bacaan kali ketiga.
Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap pengendali laman sosial dan platform internet sekiranya didapati menyekat maklumat berdasarkan kewarganegaraan dan bahasa seseorang.
Rang undang-undang itu kini hanya memerlukan kelulusan dari Majlis Persekutuan sebelum Presiden Vladimir Putin menandatanganinya untuk dijadikan sebagai undang-undang rasmi.
Selain itu, kenyataan tersebut berkata, mana-mana laman web boleh dikenakan sekatan jika berlaku diskriminasi terhadap kandungan media Rusia.
Satu catatan yang dilampirkan pada rang undang-undang tersebut menjelaskan, sepanjang tahun ini pihak berkuasa menerima aduan daripada syarikat media Rusia yang mendakwa akaun media sosial mereka telah ditapis oleh pengendali platform seperti Twitter, Facebook dan YouTube.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kremlin telah meningkatkan usaha bagi mengawal segmen internet di Rusia dengan alasan untuk memerangi fahaman pelampau di atas talian.
Sementara itu, pada tahun 2018, badan pengawal selia negara tersebut telah mengarahkan aplikasi Telegram untuk menghentikan perkhidmatan mesej rahsianya.
Bagaimanapun, percubaan itu terhenti pada awal tahun ini selepas pengasas bersama Telegram, Pavel Durov mengumumkan langkah untuk memerangi aktiviti pelampau.
Minggu lalu, mahkamah Moscow bertindak mendenda Google kerana tidak membuang kandungan yang dilarang pihak berkuasa Rusia.
Tindakan tersebut adalah yang terbaharu dalam beberapa siri cubaan mendenda dan mengenakan hukuman terhadap pengendali platform media sosial.
Pada Februari lalu, mahkamah Moscow turut mengenakan denda terhadap laman sosial Twitter dan Facebook kerana mengabaikan undang-undang Rusia yang mewajibkan mereka menyimpan data pengguna warga Rusia di dalam negara. – AFP