KUALA LUMPUR – Selepas mengikat tali pertunangan hampir lima bulan, pelakon, Dayana Roza, 29, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, A’dale Adham Ayahudin, 33, pada pukul 8.57 pagi tadi.
Majlis yang berlangsung di Majid Negara itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang hanya dihadiri sekitar 30 orang di kalangan ahli keluarga terdekat dan teman rapat.
Pasangan tersebut dinikahkan sendiri oleh bapa Dayana, Kamsum Baharin Kassim dan disaksikan Imam masjid berkenaan, Ustaz Muhammad Afif Jamal.
Dalam majlis penikahan yang serba ringkas berkenaan, A’dale menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang.
Mas kahwin pula diserahkan dalam bentuk gelang tangan bernilai RM2,000. Manakala wang hantaran dirahsiakan atas permintaan kedua ahli keluarga.
“Alhamdulillah terjalin sudah ikatan yang sah antara kami. Sepatutnya kami nikah pada 12 Disember lalu tapi terpaksa ditunda.
“Di sebalik ujian pandemik Covid-19 ini yang membataskan banyak perkara, kami dapat melangsungkan yang wajib dulu dan Alhamdulillah semuanya selamat dilangsungkan pagi ini,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon drama Seadanya Aku itu memberitahu mereka juga terpaksa melangsungkan majlis pernikahan ekoran keadaan kesihatan datuk kepada suaminya yang dikhabarkan tidak sihat.
“Kami cuba mempercepatkan majlis nikah ini seperti yang dirancang kerana datuk A’dale sudah tua dan sakit. Cuma datuknya tak sihat dan tak dapat tengok majlis akad nikah.
“Insya-Allah kalau tiada aral melintang majlis resepsi akan dibuat 10 Januari depan juga di ibu kota,” ujarnya.
Akui Dayana atau nama sebenarnya, Nur Dayana Kamsun Baharin, A’dele telah menunjukkan usaha untuk menjadikannya sebagai suri hati sepanjang tempoh perkenalan mereka sejak empat tahun lalu.
“A’dale pernah meluahkan hasrat melamar saya sekitar empat tahun lalu. Tetapi, saya menolak lamaran itu dan tidak sangka pula hasratnya kini menjadi kenyataan. Dia sanggup menunggu lama, jadi memang terbukti jodoh kami kuat.
“Saya sukakan A’dale kerana dia pandai mengambil hati ibu saya sepanjang kami berkawan,”.
Sementara itu, A’dale berkata, dia dan Dayana mempunyai minat yang sama iaitu sukakan laut, berlayar dan memancing.
“Arwah nenek saya pernah cakap kalau hendak cari calon isteri, pilih berkulit putih. Jadi, Dayana memang dalam kategori putih, cuma sekarang sudah gelap sedikit.
“Paling penting, kami meminati hobi lasak bersama,” ujarnya.
Dayana yang lahir menerusi program realiti, Anak Wayang mengenali suaminya atas dasar kawan baik sejak enam tahun lalu.
Pasangan ini tidak menolak rezeki dikurniakan anak dalam masa terdekat selain merancang untuk berbulan madu di Pulau Langkawi.
Terdahulu, pada 5 Ogos lalu, Dayana dan A’dele telah mengikat tali pertunangan dalam satu majlis yang diadakan di Damai Glass House, Kuala Lumpur. – K! ONLINE