BEIJING – China melancarkan siasatan antimonopoli terhadap kumpulan syarikat Alibaba, demikian menurut pihak berkuasa semalam.
Perkembangan itu menyaksikan harga saham syarikat gergasi e-dagang itu merudum dan menambah masalah kepada pengasasnya iaitu bilionair, Jack Ma.
Media tempatan melaporkan, pihak berkuasa juga akan mengadakan perbincangan ‘penyeliaan dan bimbingan’ bersama anak syarikat utama Alibaba, Ant Group, beberapa minggu selepas tawaran awam permulaannya (IPO) dibekukan pada minitminit terakhir oleh Beijing.
Tekanan berterusan ke atas Alibaba yang merupakan antara syarikat China paling berpengaruh itu adalah petanda terbaharu bahawa kepimpinan Parti Komunis bersiap sedia untuk menggagalkan cita-cita firma teknologi itu yang cuba melepaskan diri daripada cengkaman pemerintah.
Sektor tersebut menjadikan Jack Ma antara orang paling kaya di China dengan nilai kekayaan sekitar AS$58 bilion (RM240 bilion).
“Alibaba disiasat kerana disyaki melakukan amalan monopoli”, kata Pentadbiran Negara bagi Kawal Selia Pasaran dalam satu kenyataan.
Siasatan itu mengancam untuk menggugat pertumbuhan Alibaba, sebuah gergasi teknologi yang bertanggungjawab mewujudkan revolusi dalam landskap e-dagang di China.
Terdahulu, saham Alibaba didapati jatuh 8.6 peratus ke paras terendah dalam tempoh lima bulan di Hong Kong.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu memberitahu bahawa pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung siasatan tersebut.
Perkara sama dinyatakan oleh Ant Group yang sedia bekerjasama dan mematuhi semua permintaan jabatan pengawal seliaan.
Ant Group mencipta nama melalui produk utamanya, Alipay yang merupakan platform pembayaran secara online. Alipay kini menjadi antara aplikasi hebat dan semakin kukuh dalam ekonomi China.
Bagaimanapun, syarikat itu turut mengembangkan perniagaannya dengan menawarkan pinjaman, kredit, pelaburan dan insurans kepada ratusan juta pengguna serta perniagaan kecil di negara berkenaan.
Pencapaian Ant Group menimbulkan rasa kurang senang pihak perbankan tempatan.
Jack Ma yang berkarisma dan lantang bersuara adalah seorang bekas guru. Beliau sebelum ini mengkritik sistem kewangan China yang ketinggalan zaman dan menggelarkan bank-bank milik pemerintah sebagai kedai pajak gadai.
Tindakannya itu menyebabkan dia dipanggil untuk ‘perbincangan’ dengan jabatan kawal selia pasaran sebelum IPO Ant Group digantung.
Sejak IPO tersebut runtuh, Jack Ma memilih untuk tidak membuat sebarang kemunculan di khalayak ramai.
Pucuk pimpinan Parti Komunis China tidak menyenangi mana-mana syarikat di negara itu yang dianggap mempunyai citacita yang terlalu besar.
Pemimpin parti pada Persidangan Kerja Ekonomi Pusat minggu lalu berjanji untuk memperkuat langkah antikepercayaan dan menentang tegas monopoli sementara Badan Eksekutif Politburo juga telah berjanji untuk menyelesaikan masalah pengembangan modal yang tidak teratur. – AFP