fbpx

Cara Mamat redakan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAMAT KHALID

KHALAYAK sangat kenal dengan sutradara prolifik seorang ini. Buah tangan daripada akalnya sering dijadikan rujukan sebagai karya yang bukan sahaja sentiasa menjual lelucon bahkan sarat kritikan sosial.

Dialah Mamat Khalid atau nama lengkapnya, Mohamad Mohamad Khalid. Pada usia 57 tahun, lima buah filem bawah francais Kampung Pisang yang mengalir daripada jantung kesenimannya terbukti cemerlang.

Naskhah Hantu Kak Limah pernah mengumpul kutipan panggung RM38.6 juta pada tahun 2018, Zombie Kilang Biskut (RM1.5 juta, 2014), Husin, Mon & Jin Pakai Toncit (RM6.4 juta, 2013), Hantu Kak Limah Balik Rumah (RM8 juta, 2010) dan Zombi Kampung Pisang (RM2.4 juta, 2007).

Kesemua filem bawah francais Kampung Pisang itu telah merekodkan kutipan pecah panggung dengan jumlah keseluruhan RM56.9 juta. Itu satu pencapaian yang sukar untuk ditandingi mana-mana pengarah zaman sekarang.

MAMAT kembali aktif berkarya selepas melalui komplikasi jantung dan paru-paru kronik pada awal 2019.

Redakan Covid-19

Tahun ini, Mamat kembali menggagahkan diri bergerak ke gelanggang yang bukan sinonim dengan kelazimannya iaitu mengarahkan drama bersiri berjudul Kampong Pisang Bersiri-Siri.

Drama rantaian yang masih berkisarkan gelagat sekumpulan penduduk di Kampung Pisang tersebut sedang hangat ditayangkan bawah jenama Astro Originals.

“Sejujurnya, francais Kampung Pisang ini amat istimewa di hati saya. Saya percaya ada sebahagian penonton yang turut membesar dengan filem-filem ini.

“Sejak 2007 karya ini diperkenalkan, saya mahu menzahirkan satu kelainan khususnya kepada khalayak yang setia menyokong. Justeru saya gabungkan hampir kesemua watak filem ke dalam siri ini.

“Kampong Pisang Bersiri-Siri juga satu cabaran baharu buat saya kerana pertama kali saya mengarahkan drama bersiri, namun perlu mengekalkan kualiti dan hasil akhir setanding filem.

MAMAT (tengah) bersama barisan pelakon harapannya dalam Kampong Pisang Bersiri-Siri termasuklah Aziz M. Osman, Mat London, Kaza, Bell Ngasri dan Dewa Sapri.

 

“Untuk itu, teknik teknologi pengimejan telah dilakukan oleh tenaga pakar di Australia dan proses adunan audio dan bunyi pula dilakukan di Thailand,” kata pengarah kelahiran Ipoh, Perak itu.
Mamat berharap karyanya juga dapat meredakan tekanan orang ramai berikutan Covid-19 yang masih membimbangkan ketika ini.

“Saya harap penonton akan berpuas hati dan sedikit sebanyak mampu membawa mereka keluar seketika daripada tekanan, khususnya kala dunia dilanda pandemik Covid-19.

“Tidak salah sekiranya jika kita meluangkan sedikit masa untuk berhibur bersama keluarga dan yang tersayang dengan menonton karya ini,” ujar Mamat.

Mengulas tentang kelaziman karyanya yang terkenal dengan ‘DNA’ sindiran kemasyarakatan termasuk isu sosial semasa, Mamat tidak menafikan asas tersebut masih dipraktikkan dalam Kampong Pisang Bersiri-Siri.

DALAM Kampong Pisang Bersiri-Siri, Husin (lakonan Awie) dan Cik Chun (Nazeera Sardi) digandingkan sebagai pasangan kekasih.

Lelucon, kritikan sosial

Dia yakin menerusi penceritaan dengan gaya parodi, komedi atau satira, penonton menghadam kritik sosial secara santai dan lebih menikam.

“Memang banyak isu semasa yang saya sembang dalam Kampong Pisang Bersiri-Siri.

“Maklumlah, orang kampung macam saya ini memang suka bersembang. Jadi saya muatkannya dalam bentuk penceritaan drama episod.

“Kalau orang kata drama ini mengandungi banyak elemen satira dan kritikan, jawab saya memang betul sebab itu cara saya menyelitkan unsur dialog rakyat marhaen dalam drama ini,” katanya.

Selain itu kata Mamat, dalam berhibur, dia menaruh harapan agar naskahnya kali ini diterima baik semua lapisan penonton.

Besar hasratnya untuk membawa karya tersebut ke satu tahap yang mampu memuaskan hati seluruh pihak.

 

“Dari segi penceritaan dan visual, saya kena lebih memberikan penekanan terhadap perkara itu sebab sudah tentulah saya mahu hasil kerja ini dilihat sebagai lebih baik daripada yang sebelumnya, sekali gus berdaya saing.

“Paling utama, penonton dapat menerimanya dengan baik,” tutur Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) itu.
Kampong Pisang Bersiri-Siri membariskan watak komedi daripada francais terdahulu, antaranya watak ikonik Pak Jabit, Husin, Kak Limah, Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar dan Barkoba.

Watak-watak yang cukup sinonim dengan Mamat itu adalah gabungan daripada filem Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah, Hantu Kak Limah Balik Rumah serta dua buah telefilem, 16 Puasa dan 17 Puasa.Kampong Pisang Bersiri-Siri memulakan tayangan sejak 7 Disember lalu pada pukul 9 malam menerusi Astro Citra, saluran 108 (HD) dan 128 (SD).

KAMPONG Pisang Bersiri-Siri memulakan tayangan sejak 7 Disember lalu pada pukul 9 malam menerusi Astro Citra, saluran 108 (HD) dan 128 (SD).

Antara bintang ternama yang terlibat menjayakan drama bersiri tersebut termasuk Datuk Awie, Bell Ngasri, Kazar, Aziz. M. Osman, Sharwani NS, Joey Daud dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI