LONDON – Pasukan West Ham sudah memulakan perancangan untuk memancing khidmat penyerang veteran Chelsea, Olivier Giroud apabila jendela perpindahan antarabangsa kembali dibuka pada Januari depan.
Difahamkan, skuad The Hammers yang dibimbing oleh David Moyes sememangnya terdesak untuk mencari pemain di posisi No. 9 selepas beberapa
penyerang utama, Sebastian Haller gagal mempamerkan aksi yang diharapkan.
Malah, West Ham turut bersedia untuk menjual pemain antarabangsa Ukraine, Andriy Yarmalenko dalam usaha mendapatkan dana bagi memudahkan proses untuk menandatangani khidmat Giroud.
Sebelum ini, pengendali Chelsea, Frank Lampard mengakui berjanji kepada Giroud yang kini berusia 34 tahun untuk melepaskannya jika pihak pengurusan The Blues mendapat tawaran setimpal.
Situasi ini kerana Giroud sememangnya terdesak untuk mendapatkan minit permainan bagi mengukuhkan kedudukannya selaku penyerang utama skuad antarabangsa Perancis yang bakal bersaing pada Kejuaraan Eropah (Euro) pada tahun depan.
Sebagai rekod, Giroud yang juga bekas penyerang Arsenal kini menjadi pilihan ke-3 di posisi serangan skuad Chelsea selepas Lampard mengesahkan dua penyerang utama pasukannya kekal milik Tammy Abraham dan Timo Werner.
Bagaimanapun, West Ham dijangka mendapat tentangan sengit daripada beberapa kelab Eropah yang turut berminat untuk menandantangani khidmat Giroud termasuk Inter Milan dan pasukan di Liga Bola Sepak Major Amerika Syarikat (MLS). – AGENSI