SABAK BERNAM – Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal ditungganginya dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV)
ketika keluar simpang di Jalan Parit 6 Timur, Sungai Besar di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.20 pagi itu, mangsa berusia 70 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda datang dari arah rumahnya di Sungai Panjang ke Sungai Besar
“Setibanya di lokasi kejadian, lelaki itu dipercayai keluar dari persimpangan di sebelah kanan jalan.
“MPV jenis Toyota Unser dipandu lelaki berusia 74 tahun tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo di sini, hari ini.
Agus Salim menambah, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE