ALOR SETAR – Seorang wanita warga emas melecur kira-kira 80 peratus selepas rumah didiaminya terbakar dalam kejadian di Jalan Yan Batas Paip, Teluk Bulang di sini petang ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.32 petang ini.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas B dengan kemusnahan kira-kira 50 peratus.
“Terdapat seorang mangsa warga emas berusia 78 tahun cedera melecur sebanyak 80 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, api berjaya dipadamkan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpang Empat menggunakan dua aliran dua pancutan.
“Tindakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja dan PBS terlibat memastikan tiada lagi sumber api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” ujarnya.
Menurutnya, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7.02 malam.
“Mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota BBP Jalan Raja sementara menunggu pihak hospital tiba di lokasi,” katanya.
Tambahnya, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini menggunakan ambulans. – K! ONLINE