LONDON – Aston Villa bakal berdepan cabaran hebat untuk mempertahankan ketua pasukannya, Jack Grealish yang menjadi buruan Manchester United dan Manchester City Januari ini.
Ketika mereka menerima asakan daripada dua kelab berkenaan, muncul satu lagi gergasi England, Liverpool yang turut menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat Grealish pada jendela perpindahan musim sejuk nanti.
Bagaimanapun, Liverpool menolak dakwaan bahawa sedang memantau Grealish secara dekat biarpun tidak menolak kemungkinan bakal kehilangan Mohamed Salah yang dilaporkan sudah tidak gembira berada di Anfield.
Kapten Villa itu berada pada prestasi terbaik ketika ini apabila meraih lima kap bersama pasukan England, selain berjaya meledak lima gol dan enam umpanan gol untuk Villa setakat musim ini.
Bagaimanapun, dia telah memperbaharui kontrak baharu September lalu yang menyaksikannya kekal di Villa Park untuk tempoh lima tahun dan menerima bayaran sebanyak £130,000 (RM708,497) seminggu.
United sebelum ini cuba mendapatkan Grealish, namun enggan melunaskan permintaan Villa yang mahu menjual pemain itu dengan nilai £80 juta (RM436 juta) dan kontrak terbaharu yang ditandatanganinya mungkin melonjakkan nilainya sehingga £100 juta (RM545 juta)
Bagaimanapun, City enggan membiarkan Grealish mudah menjadi milik United apabila dia juga merupakan pemain yang sangat diminati pengurus pasukan itu, Pep Guardiola.
Villa pula mungkin terpaksa berdepan kesukaran untuk membuat keputusan memandangkan mereka berjaya mempamerkan aksi meyakinkan musim ini untuk berada di kedudukan kesembilan Liga Perdana Inggeris setakat ini.
United dan City dilaporkan tidak mempunyai masalah untuk menawarkan gaji mingguan yang lebih besar sehingga £200,000 (RM1.08 juta) seminggu untuk menarik minat Grealish menyertai mereka pada musim sejuk nanti. – AFP