JOHOR BAHRU – Johor Corporation Bhd. (JCorp) menerusi anak syarikatnya, Damansara Assets Sdn. Bhd. (Damansara Assets) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Cenergi EE Holdings Sdn. Bhd. (Cenergi).
Kerjasama strategik itu melibatkan penawaran perkhidmatan pengurusan kemudahan inovatif yang disatukan dengan program tenaga solar dan kecekapan tenaga modal tanpa had.
Pengarah Urusan Damansara Assets, Hazman Hilmi Sallahuddin berkata, usaha sama tersebut akan menawarkan pemilik bangunan dengan penyelesaian menyeluruh untuk perkhidmatan pengurusan bangunan yang berkekalan dan cekap tenaga.
“Menerusi MoU, Damansara Assets dan Cenergi akan menggabungkan perniagaan dan kepakaran bagi menawarkan perkhidmatan pengurusan bangunan yang berkekalan serta cekap tenaga terhadap bangunan yang dimiliki atau diuruskan selain berpotensi ditawarkan kepada pemilik bangunan lain.
“Damansara Assets akan menyediakan perkhidmatan pengurusan harta tanah dan bangunan komersialnya.
“Manakala pula Cenergi akan melengkapkan perkhidmatan sebagai pemaju, pelabur dan pengendali program kecekapan tenaga suria di atas bumbung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian MoU antara kedua-dua pihak yang diadakan di Menara JLand di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Hairol Azizi Tajudin.
Hazman menerangkan, penjimatan tenaga dan kos boleh dibuat melalui pemasangan fotovolta solar di atap (PV) dan peralatan elektrik yang dioptimumkan melalui program pembangunan dan pengoperasian yang dikenali sebagai Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) dan Perjanjian Prestasi Penjimatan Tenaga (ESPA).
“Setelah selesai pemasangan, kami menjangkakan bil elektrik di bangunan ini akan berkurangan antara 10 hingga 20 peratus bergantung pada jenis dan tahap kerja pemasangan dilakukan,” ujarnya.
Dalam masa sama, kerjasama antara Damansara Assets dan Cenergi itu turut melihat peluang untuk memperluaskan usaha penjimatan penggunaan tenaga oleh sesebuah bangunan kepada pemilik bangunan lain di seluruh negara.