KOTA BHARU – Seorang pengusaha budu tidak menyangka selipar berjenama Gucci gred A yang dibeli pada harga RM290 menjadi sasaran pencuri yang datang ke rumahnya di Kampung Keling di sini pagi tadi.
Kejadian yang berlaku pada pukul 3 pagi tadi itu disedari Md. Khairul Nizam Azmi, 38, pada pukul 9 pagi sewaktu dia ingin keluar membeli sarapan.
Menurut pemilik budu Cap Sedap itu, apabila menyedari selipar itu tiada, dia terus memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bahagian laman rumahnya.
“Selain selipar yang baru dibeli dua bulan lalu itu, pencuri yang memakai topi keledar itu turut mengebas sepasang kasut berjenama Bata berharga RM70 dan sebuah basikal milik anak saya yang bernilai RM250.
“Sebelum ini, tiada sebarang kejadian kecurian berlaku di sini. Saya tidak menyangka pencuri itu berminat dengan selipar gred A. Tak kan selipar pun nak curi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Md. Khairul, nasib baik dia memasang CCTV di rumah dan sekurang-kurangnya dapat mengenal pasti pencuri yang mengambil seliparnya itu.
Katanya, bagaimanapun, dia tidak akan membuat laporan polis dan berharap agar pencuri itu memulangkan semula selipar,kasut dan basikal miliknya. – K! ONLINE.