fbpx

Muna Shahirah jadi ‘streamer’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUNA SHAHIRAH

TIDAK keterlaluan andai dikatakan kehadiran penyanyi yang menggunakan nama pentas Muna Shahirah itu masih kurang menyerlah.

Meskipun pernah menghulurkan salam perkenalan seawal 2014 menerusi program realiti televisyen Akademi Fantasia (AF) terbitan Astro, namun namanya tenggelam timbul tanpa arah.

Tidak seperti rakan-rakan seangkatan AF lain seperti Aman Aziz, Ewal, Nina Nadira dan Nuha, nama Muna Shahirah dilihat sedikit terkebelakang lebih-lebih lagi selepas terpaksa meninggalkan pentas saingan tersebut seawal minggu keempat.

Muna atau nama sebenarnya Muna Shahirah Munadi, 26, bagaimanapun akur dengan takdir itu dan terpaksa bertindak memperlahankan sedikit karier seninya yang baru ingin berputik.

BIARPUN pernah membuat keputusan untuk ‘berehat’ dan meninggalkan dunia nyanyian, gadis kelahiran Mersing, Johor ini bersyukur dengan peluang kedua yang diberikan kepadanya.

“Saya memang akui dan tidak boleh elak perkara tersebut. Usai terkeluar dan kecundang pada minggu keempat di pentas AF, saya nekad memperlahankan karier seni.

“Bukan bermaksud merajuk atau mengangkat bendera putih tanda menyerah kalah, tapi saya ada matlamat dan fokus tersendiri,” ujar gadis kelahiran Mersing, Johor itu tatkala memulakan bicara bersama HibGlam.

Jelas Muna lagi, dia melakukan perkara tersebut dek kerana ingin fokus terhadap pengajiannya dalam bidang Sarjana Muda Sains (Matematik) di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Lebih tiga tahun dihabiskan untuk memastikan dirinya dapat menggenggam segulung ijazah, Muna tekad lakukannya demi kelangsungan masa depan yang lebih cerah.

Kembali aktif

Benar kata orang, rezeki tidak sesekali pernah salah alamat. Itu juga yang terjadi kepada gadis berzodiak Libra ini.

Usai tamat pengajian dengan cemerlangnya pada 2017, dek minat dan semangat membara, dia kembali aktif meluncur ke dalam industri muzik.

“Alhamdulillah. Selepas selesai bab pengajian, syarikat rakaman FMC Music pada ketika itu ada menghubungi dan menawarkan kontrak sebagai penyanyi di bawah label rakamannya.

“Single pertama Takdir Cinta menjadi taruhan pertama saya dalam bidang ini. Tapi ternyata, ia tidak mampu melonjakkan nama, biarpun video muziknya ditonton lebih dua juta kali pada 2017,” ujarnya.

MUNA Shahirah nekad tidak mahu menoleh ke belakang dan fokus dengan kerjaya seni yang dikecapinya sekarang.

Beritahunya, setahun selepas itu, single kedua berjudul Teguh Setia ciptaan komposer lagu terdahulu, Ibnu Gouffran pula hadir menemui pendengar.

Pun begitu, perasaan kecewa dan hampa seakan-akan berulang apabila Teguh Setia turut bergerak perlahan dan seolah-olah tidak mendapat tempat di hati pendengar.

“Pada masa itu, saya cuba berfikiran positif, mungkin belum rezeki saya untuk ke depan dan menyinar sebagai anak seni.

“Jujur saya katakan, empat tahun saya menanti, tetapi di mana salah dan silap saya apabila bakat masih belum menyerlah, sekali gus diterima umum,” tuturnya sedikit sebak.

Atas faktor tersebut, dia pernah berhasrat untuk meninggalkan industri muzik, sekali gus mencari apa sahaja kerja di negeri kelahirannya.

“Saya pernah tergerak hati mahu berhenti menyanyi dan bekerja di kampung ataupun berhijrah ke Singapura mengikut adik yang bekerja di sana. Saya tidak kisah melakukan apa sahaja kerja asalkan dapat membantu ibu bapa dan keluarga.

“Siapa sangka, pengurus dan wakil syarikat rakaman menghubungi serta membantu ketika saya mahu melangkah pergi.

“Apabila Teguh Setia mula dipromosikan dan lagu mula mesra serta diputarkan di corong radio, impaknya mula kelihatan. Graf tontonan video muzik juga mencanak bergerak pantas,” katanya yang menjadikan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai idolanya dalam nyanyian.

TIDAK hanya fokus dengan kerjaya seni semata-mata, Muna Shahirah turut mempersiapkan diri dengan membuka perniagaan berasaskan makanan kudapan kelak.

Wanita berzodiak Gemini itu memberitahu, single Teguh Setia banyak memberi impak dan membantu menaikkan semula namanya dalam industri setelah hampir hanyut dibawa deras.

Walaupun Teguh Setia terkandas pada saingan Separuh Akhir Muzik Muzik, sekali gus memadam hasratnya untuk berentap pada peringkat Akhir Anugerah Juara Lagu ke-34, Muna tetap bersyukur atas pencalonan yang diberikan.

Perlu kreatif

Sejak dunia dilanda pandemik Covid-19, aktiviti seni turut terbatas dan ia turut dirasai semua termasuk dirinya.

Akui Muna yang tercalon bagi kategori Artis Baharu Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular ke-33 bulan lalu, dia turut tidak terlepas dari dugaan besar itu.

Jelasnya, segala aktiviti berkaitan seni termasuk rangka promosi single terbaharu dan undangan persembahan terpaksa ditunda.

“Boleh dikatakan semua perancangan pada tahun ini tidak menjadi ekoran Covid-19 yang melanda.

“Secara tidak langsung, periuk nasi kami sebagai anak seni juga sedikit terkesan dan apa sahaja kerja yang boleh mendatangkan pendapatan seperti berniaga harus dilakukan,” ujarnya.

Penyanyi berusia 26 tahun itu baharu sahaja mengeluarkan single terbaharu berjudul Bahagia, gandingan duet romantis bersama Zack Zakwan.

Bagi dirinya, dia memilih untuk menjadi streamer atau pemain penstriman video profesional, sekali gus dapat mendatangkan punca pendapatan ketika ketidaktentuan pendapatan ketika ini.

Akuinya, sejak dari zaman remaja hingga menyambung pengajian, dia meminati dunia penstriman permainan video. Kini, hobi tersebut sedikit sebanyak membantu menyumbang kepada pendapatan tambahan buatnya kini.

“Bagi saya, buat sahajalah apa pun yang kita minat dan boleh lakukan. Asalkan ia halal dan tidak mengganggu orang lain sudah cukup memadai,” tuturnya.

Diaju soalan mengenai perkembangan terkini, Muna memberitahu, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah telefilem genre kekeluargaan dan percintaan bersama beberapa pelakon hebat lain yang bakal disiarkan tahun hadapan.

“Saya juga sedang berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Insya-Allah jika tiada aral melintang, saya akan mengeluarkan produk makanan kudapan tidak lama lagi,” ujarnya yang baharu sahaja hadir dengan buah tangan terbaharu berjudul Bagaimana bergandingan romantis bersama dengan penyanyi muda, Zack Zakwan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI