fbpx

Majikan berdepan tindakan undang-undang jika pekerja warga asing tidak disaring

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Majikan yang gagal mematuhi arahan mewajibkan pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti bermula 1 Januari depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan tersebut akan dikuatkuasakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

“Bermula 1 Disember lalu, kerajaan telah mengarahkan semua pekerja warga asing yang bekerja di semua sektor termasuk pembinaan, perkilangan, komersial untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dan kos ujian saringan perlu ditanggung oleh majikan syarikat berkenaan.

“Sehingga kini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengesahkan seramai 49,248 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 1,990 majikan,”katanya pada sidang akhbar harian hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, KSM memaklumkan masih terdapat segelintir majikan yang enggan memberikan kerjasama untuk mematuhi arahan tersebut.

“Sehubungan itu, sidang khas semalam bersetuju untuk menguatkuasakan arahan ini bermula 1 Januari 2021 dan majikan yang gagal mematuhi arahan tersebut akan dikenakan tindakan undang-undang serta penalti.

“Sidang Khas turut bersetuju untuk mewajibkan majikan menanggung kos kuarantin dan rawatan bagi pekerja warga asing yang positif Covid-19 yang dipindahkan ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC),” jelas beliau.

Tambahnya, kerajaan juga sedang mempergiatkan pemeriksaan terhadap kediaman pekerja warga asing di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446) dan sehingga kini sebanyak 12 syarikat serta 27 pertuduhan telah dikenakan ke atas majikan yang ingkar. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI