Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK
KUANTAN – Kerana cinta, seorang nenek berusia 60 tahun di sini kerugian RM87,400 akibat diperdaya individu menyamar lelaki dari Amerika Syarikat (AS).
Kejadian bermula pada Oktober lalu apabila warga emas berkenaan berkenalan dengan Haji Usman Hamand Rahman melalui aplikasi laman sosial Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek memaklumkan sedang berada di Malaysia.
“Usman memaklumkan akan terus berada di Malaysia selama tiga tahun kerana mempunyai projek dengan syarikat minyak di Terengganu.
“Suspek juga memaklumkan sedang dikuarantin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan mahu meminjam wang,” katanya.
Ujar Mohd. Wazir lagi, suspek memberi alasan memerlukan wang tersebut untuk menanggung kos perbelanjaan lapan orang pekerjanya.
Tambah beliau, bermula 30 November hingga 18 Disember lalu, mangsa telah memindahkan RM87,400 ke dalam tiga akaun berbeza melalui sembilan transaksi.
“Selepas mendapat wang, suspek masih meminta sebanyak RM13,000 tetapi mangsa mula enggan. Mangsa berasa tertipu dan membuat laporan polis,” ujarnya.
Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE.