TAPAH – Seorang lelaki maut setelah kereta dipandunya berlanggar dengan lori muatan ais di Kilometer 43, Jalan Ipoh-Teluk Intan berhampiran Kampung Haji Dahlan di sini hari ini.
Dalam nahas pada pukul 2.30 petang itu, Chin Kok Wah, 39, yang memandu kereta jenis Proton Wira cedera parah dan maut di tempat kejadian.
Kemalangan turut menyebabkan muatan ais yang dipandu lelaki berusia 25 tahun itu tercampak keluar dan bertaburan di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa lori ais tersebut dalam perjalanan dari Kampar ke Teluk Intan.
Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu masuk ke laluan lori di arah bertentangan sebelum dilanggar di bahagian kiri kereta.
“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa yang tersepit cedera parah dan maut di tempat kejadian manakala pemandu lori ais pula tidak cedera.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -K! ONLINE