RANTAU PANJANG – Seorang aktivitis masyarakat menggunakan pengalaman selama lebih 14 tahun sebagai tukang masak di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan membuka dapur bagi membantu penduduk Rantau Panjang yang terperangkap dengan banjir.
Pauziah Che Wook, 63, atau Kak Zah berkata, idea memperkenalkan Dapur Darurat Kak Zah itu timbul selepas mendengar rintihan dan melihat sendiri keperitan mangsa banjir yang terkandas selain mereka tidak dapat berpindah selepas rumah ditenggelami air.
“Selepas itu, saya mengambil inisiatif untuk memperkenalkan Dapur Darurat Kak Zah bagi membantu meringankan beban mangsa-mangsa yang terkandas dan tidak dapat berpindah ke PPS.
“Dapur ini saya gerakan bersama dengan anak jati Rantau Panjang, Amran Abdul Rahman yang bertindak mencari dana bagi menyokong usaha kecil tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kak Zah memberitahu, dia cukup bertuah apabila ada penduduk setempat yang terjejas dengan banjir sanggup tampil membantu dalam proses penyediaan makanan.
Katanya, setiap hari Dapur Darurat Kak Zah akan menyediakan makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir sebanyak tiga kali sehari.
“Hidangan makanan disediakan pada waktu pagi tengah hari dan malam. Makanan yang telah siap dibungkus itu akan diagihkan oleh sukarelawan dengan menggunakan perahu untuk dihantar kepada penduduk yang terjejas.
“Meskipun penat, l saya dan mereka yang menjayakan projek ini gembira dapat membantu golongan memerlukan,” ujarnya.
Tambahnya, bagaimanapun perkhidmatan dapur itu bergantung kepada sumbangan yang diterima.
Kak Zah berkata, perkhidmatan itu tidak tertumpu pada musim banjir sahaja malah ia turut diperluaskan pada bulan-bulan lain.
Katanya, antara golongan yang sering dibantu adalah anak yatim, pelajar tahfiz dan golongan asnaf. – K! ONLINE.