Membesar di zaman media sosial, generasi muda kini tidak terlepas daripada terpengaruh dengan apa yang dilihat atau dipaparkan di platform tersebut.
Ada juga yang menjadikan selebriti media sosial sebagai idola dan sering menjadikan mereka contoh dalam membentuk cita-cita dan masa depan.
Namun, perlu diingat bahawa media sosial adalah sebuah dunia yang tidak nyata.
Remaja terutamanya di bangku sekolah perlu diingatkan bahawa ‘dunia’ itu bukanlah manis-manis belaka.
Apa yang kita lihat di media sosial adalah apa yang mereka mahu.
Kandungannya diubah dan disesuaikan untuk memenuhi kriteria sempurna.
Menurut Pakar Sosial dan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Datuk Mohammad Shatar Sabran, selebriti media sosial sepatutnya lebih bertanggungjawab untuk tidak menyediakan isi kandungan di luar norma masyarakat.
“Kuasa media sosial sebenarnya satu tanggungjawab yang besar dan perlu dipikul dengan penuh berhati-hati kerana jika disalah guna, impaknya kepada pengikut mereka bukan sedikit.
“Jadi jangan promosikan sesuatu yang di luar norma masyarakat kita. Seperti contoh, masyarakat kita mementingkan pendidikan jadi jangan tersalah kata menggunakan ayat kegagalan terlebih dahulu untuk membuktikan kejayaan sekarang,” katanya lagi.
Tidak salah untuk menjadikan kegagalan diri sendiri sebagai dorongan buat orang lain, namun patah kata yang dikeluarkan perlu disusun dengan penuh hemat.
Ini kerana, setiap orang dilahirkan dengan keistimewaan berbeza dan tiada istilah satu formula sesuai untuk semua orang.
Jika formula gagal itu berjaya mendorong seseorang untuk mencapai kejayaan, itu tidak bermakna semua orang perlu mengikuti jejak langkah itu. Apa yang penting adalah usaha.
Tambah Shatar, dalam keadaan dunia berdepan dengan pandemik Covid-19 yang menyaksikan sesi persekolahan beralih ke online, pelajar perlu bijak untuk tidak leka dan hanyut dalam ‘percutian’ percuma ini.
“Jangan tenggelam dalam dunia media sosial sehingga lupa realitinya, mereka masih ada tanggungjawab pada pendidikan yang perlu diselesaikan.
“Benar, kemahiran insaniah atau soft skill yang dikembangkan menerusi media sosial seperti keyakinan diri dan hubungan awam tidak kurang pentingnya, namun sijil pendidikan hakiki perlu diutamakan,” tegasnya.
Penulis bukanlah anti media sosial dan tidak juga pernah mencapai kejayaan hebat dalam pelajaran.
Penulis cuma agak terganggu dengan ‘pemujaan’ berlebihan terhadap selebriti media sosial sehingga sebilangan anak muda hilang jejak dunia nyata.
Penulis bermula dengan mendapat gred G atau gagal bagi subjek Matematik Tambahan dan gred E dalam subjek Matematik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008.
Terlalu memandang remeh terhadap SPM dan menganggap semua orang akan dan pasti lulus, keputusan G memberi tamparan hebat terutama apabila melihat seorang demi seorang rakan berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Namun, penulis bernasib baik kerana Tuhan masih sayang apabila akhirnya diterima masuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan keputusan SPM serendah itu.
Gagal tidak salah. Apa yang salah adalah gagal tanpa usaha serta berharap dan hanya terus berharap, nasib berubah seperti hidup di alam fantasi.-K! ONLINE