DI sebalik deretan bangunan pencakar langit serta restoran mewah di sekelilingnya, terselit sebuah restoran yang menyajikan hidangan authentik negeri Pahang iaitu masakan berasaskan ikan patin.
Restoran yang diberi nama House of Patin-Restoran Lipis di Kuala Lumpur yang terletak di No.5, Jalan Liew Weng Chee, Off Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur ini menyajikan pelbagai menu masakan berasakan ikan air tawar itu.
Restoran berkonsepkan rumah banglo itu hanya terletak kira-kira 500 meter dari Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan beropersi dari pukul 11 pagi hingga 11 malam setiap hari.
Antara hidangan yang ditawarkan adalah seperti patin masak tempoyak, pais patin, patin goreng, ayam kampung goreng, pekasam, udang galah masak lemak dan pelbagai lagi.
Menurut pemilik restoran, Ahmad Daniar Ismail, 43, idea untuk membuka restoran berasaskan ikan patin itu timbul ketika dia aktif dalam gerakan belia sebelum ini.
Kata anak jati Kuala Lipis, Pahang itu, setiap kali datang ke ibu kota, rakan-rakannya pasti akan memintanya membawa ikan patin masak tempoyak dari kampungnya.
“Rentetan itu, saya cuba memasak sendiri menu berkenaan menggunakan resipi keluarga.
“Ramai yang mencadangkan saya membuka restoran di Kuala Lumpur bagi memudahkan mereka menikmati masakan berkenaaan,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.
Tambah Ahmad Daniar, susulan permintaan rakan-rakannya itu, pada tahun 2015, dia menyewa sebuah gerai di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
“Selepas hampir tiga tahun berniaga, saya berpindah ke sini (Jalan Yap Kwan Seng) pada 2018 kerana gerai itu tidak dapat menampung kapasiti pelanggan.
“Di restoran baharu, kami boleh menerima kira-kira 150 pelanggan pada satu-satu masa berbanding 30 orang sebelum itu.
“Suasana di sini juga selesa untuk mereka yang datang secara berkumpulan ataupun untuk mengadakan majlis,” katanya.
Jelasnya lagi, selain masakan berasaskan patin, restorannya juga turut menyediakan pelbagai masakan berasaskan ikan air tawar lain seperti kerai, lampam dan kelah.
“Pelanggan perlu membuat tempahan awal supaya kami mendapatkan stok ikan daripada peraih di Kuala Lipis. Harganya bergantung kepada pasaran.
“Hidangan ikan air tawar di restoran ini juga dijamin segar, kerana dibawa terus dari Kuala Lipis setiap tiga hari.
“Ikan ini tidak disimpan dalam peti sejuk, tetapi hanya direndam dalam ais bagi mengekalkan kesegaran dan menjaga kualiti isi apabila dimasak,” jelasnya yang kini ada 12 pekerja.
Dalam pada itu, mengulas mengenai harga makanan di restorannya, Ahmad Daniar berkata, meskipun restorannya kelihatan eksklusif, namun harganya masih lagi berkonsep gerai.
“Contohnya seperti ikan patin sangkar yang hanya dijual pada harga RM15 semangkuk sama ada potongan bahagian kepala, badan atau ekor. Berat ikan adalah satu kilogram seekor.
“Ramai takut untuk masuk ke restoran kami kerana kelihatan ekslusif, namun jangan risau kerana harganya setaraf gerai tepi jalan,” katanya.
Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan, restorannya menawarkan tempahan dalam talian menerusi aplikasi Foodpanda dan Lalamove.