MAHKOTA kejuaraan CP150 perlumbaan Cub Prix Malaysia Petronas kini semakin kukuh dalam genggangan pelumba HI-REV SCK Honda Racing, Mohd. Helmi Azman apabila muncul juara pada pusingan ketujuh di Litar Antarabangsa Sepang (utara) semalam.
Pada perlumbaan itu, Helmi yang memulakan saingan di petak kelima sedikit bekerja keras apabila ketinggalan seawal perlumbaana, namun pelumba kelahiran Selangor itu bangkit menguasai semula saingan.
Hujan yang mula membasahi Litar Sepang membuka ruang terbaik kepada Helmi untuk melakukan kejutan sebelum meraih kemenangan pada perlumbaan tersebut meskipun diekori rapat pelumba Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar.
Hasil kemenangan tersebut, Helmi yang sebelum ini berkongsi mata dengan Azroy selaku pendahulu saingan kini berada di hadapan dengan 12 mata sebagai kelebihan menuju perlumbaan terakhir yang berlangsung hari ini.
“Perlumbaan yang mendebarkan buat saya kerana saingan begitu sengit dan keadaan cuaca juga tidak menentu. Berbekalkan pengalaman beraksi di Litar Sepang ini, saya menumpukan perhatian sepenuhnya agar tidak terperangkap atau terjatuh berikutan litar licin akibat hujan.
“Meskipun jentera mengalami kerosakan pada awal pagi, ia tidak mematahkan semangat saya malah pasukan terus memberi sokongan kepada saya untuk meneruskan perlumbaan.
“Terima kasih kepada mekanik dan pasukan yang tidak pernah berputus asa. Kemenangan ini buat mereka semua yang bekerja keras sepanjang minggu ini,” kata Helmi kepada Kosmo! semalam.
Ditanya mengenai impiannya untuk bergelar juara keseluruhan CP150, Helmi mengakui tidak mahu memikirnya dan hanya bertekad untuk menaiki podium pada setiap perlumbaan.
“Azroy merupakan kawan saya dan ketika dalam perlumbaan, kami berbeza. Bagaimanapun, kami bersaing secara sihat dan saya gembira kerana dia menjadi pesaing terhebat saya dalam CP150,” ujarnya.
Drama dua pusingan terakhir kategori CP125 turut sengit apabila kelebihan mata yang dimiliki pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Mohd. Syafiq Rosli lesap sekelip mata apabila pelumba tersebut terjatuh pada perlumbaan CP125 Akhir.
Perlumbaan itu dimenangi Mohd. Adib Rosley daripada pasukan IPONE Yamaha YY Pang Racing Team dan pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Mohd. Shafiq Rasol menaiki podium kedua, manakala Mohd. Aiman Azman (Hi Rev SCK Honda Racing) terpaksa berpuas hati tempat ketiga.