PUTRAJAYA – Satu maklumat yang ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp bertajuk ‘Konspirasi dan Skandal Rasuah di Malaysia’ menggunakam nama penulis sebagai Muhammad Fauzan bin Jamil diterima oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menghubungi penama tersebut menerusi nombor telefon 019-3499238 yang dipaparkan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung penulisan yang disebar luas oleh pihak tertentu.
“Hasilnya, penama tersebut menjelaskan menerusi WhatsApp bahawa beliau tidak mengetahui langsung berhubung penulisan yang tersebar itu menggunakan nama dan nombor kad pengenalannya.
“Perkara tersebut adalah palsu serta fitnah dan e-mel yang digunakan juga adalah palsu,” kata kenyataan itu hari ini.
SPRM berkata, penama berkenaan akan membuat laporan polis berkaitan perkara tersebut.
Tambah SPRM, pihaknya memandang serius bentuk tohmahan yang sengaja diadakan dengan niat untuk mencemar imej suruhanjaya itu.
“SPRM berharap pihak Polis Diraja Malaysia dapat menjalankan siasatan berhubung perkara ini,” katanya. -K! ONLINE