Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan bekas pelatih Levante UD B, Sepanyol, Syahrian Abimanyu sudah menandatangani kontrak sebagai pemain import baharu Harimau Selatan bagi musim depan.
Pemilihan pemain kelahiran Banjarnegara, Jawa Tengah, Indonesia berusia 21 tahun itu merupakan sebahagian daripada perancangan jangka masa panjang pasukan JDT.
“Kelab JDT telah menandatangani bekas pelatih Levante berusia 21 tahun, Syahrian Abimanyu dari Indonesia.
“Ini sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang kelab,” jelas JDT dalam kenyataan rasmi di Facebook Johor Southern Tigers semalam.
Syahrian merupakan pemain kebangsaan Indonesia bawah 23 tahun (B-23) dan bermain di posisi tengah. Dia sebelum ini turut bermain dengan kelab Madura United.
Pemain muda itu memulakan kariernya sebagai pemain profesional pada tahun 2016 ketika berusia 17 tahun ketika bersama SSB Jaya Mandiri Bogor.
Dia kemudiannya terpilih untuk mengembangkan bakatnya bersama Akademi Bola Sepak Jakarta (JFA) sebelum melangkah jauh dengan menimba ilmu bersama pasukan Atletico Levante UD B di Sepanyol 2016/2017.
Setelah meraih pengalaman, Syahrian pulang ke tanah air sebelum dilamar Persija Jakarta (2017/2018), Sriwijaya FC (2018/2019) dan Madura United (2019/2020).