SEOUL, Korea Selatan – Seorang pengulas restoran dan makanan popular YouTube Korea Selatan, Hayantree dikecam netizen apabila memuat naik ulasan palsu hingga menyebabkan sebuah restoran ditutup.
Pada 7 Disember lalu, HayanTree yang mempunyai lebih 700,000 pengikut di YouTube telah memuat naik video mengenai restoran ketam kicap di Daegu.
Dalam rakaman video itu, dia mengisi semula ketam ke dalam pinggannya tetapi terdapat butir nasi dalam makanan itu sekali gus menimbulkan rasa curiga netizen bahawa restoran itu menggunakan semula makanan yang tidak terjual. Dia turut mengadu kepada pengurusan restoran berhubung perkara itu.
Video itu menjadi tular dan mencatatkan lebih 1 juta tontonan dalam masa beberapa hari serta menyebabkan restoran tersebut ditutup.
“Dalam waktu dua hingga tiga jam selepas HayanTree memuat naik video itu, kakitangan kami terpaksa memberi penjelasan berulang kali bahawa kami tidak mengitar semula makanan kami.
“Kami boleh membuktikannya dengan memberikan keseluruhan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) tetapi komen kami disekat sehingga netizen tidak dapat melihatnya,” pemilik restoran itu memberitahu akhbar The Korea Herald.
Rakaman CCTV akhirnya menunjukkan bahawa butir nasi yang dikatakan oleh HayanTree itu berasal daripada hidangan miliknya sendiri yang dimakan sebelum itu.HayanTree mengakui kesalahannya dan membuang klip video berkenaan sebelum menyiarkan video permohonan maaf sebagai ganti.
“Saya sepatutnya membuat video dengan fakta yang tepat dan saya benar-benar menyesal atas kesilapan saya,” katanya
Namun, penarikan balik video kontroversi tersebut tidak banyak membantu restoran itu kerana pihak restoran mendakwa ketika HayanTree kembali untuk merakam video lain, perniagaan itu sudah ditutup.
“Ketika dia datang untuk membuat penggambaran baharu, restoran kami sudah ditutup.
“Kezaliman bintang media sosial seperti ini lebih menakutkan daripada wabak koronavirus,” katanya.
Selasa lalu, pemilik restoran meluahkan kekecewaannya tentang situasi itu dan meminta pihak berkuasa campur tangan agar perniagaan lain tidak mengalami nasib serupa.
Setakat ini, pengikut HayanTree berkurang kepada 645,000 orang tetapi belum ada sebarang impak besar terhadap popularitinya. – Agensi