PASIR PUTEH – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) mengenal pasti terdapat ramai dalam kalangan petani yang mengusahakan tanaman padi tidak mengikut jadual seperti yang disyorkan oleh lembaga itu.
Keadaan itu menyebabkan petani-petani mengalami kerugian yang besar terutamanya ketika musim banjir pada setiap hujung tahun di negeri ini.
Pengerusi Kada, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, sehubungan dengan itu, pihaknya telag mengenal pasti seramai 40 petani di daerah Tumpat dan Bachok mengalami kerugian apabila tanaman mereka ditenggelami banjir baru-baru ini.
Katanya, kerugian itu dianggarkan sebanyak RM180,000 selepas tanaman mereka di dalam kawasan seluas 110 hektar musnah pada tahun ini.
“Kita sudah mengadakan bancian awal dan mendapati kebanyakan petani di dua kawasan itu gagal menuai hasil apabila buah padi masak sewaktu hujan lebat kerana sawah mereka ditenggelami banjir.
“Pihak Kada mendapati daerah Tumpat menunjukkan kemusnahan padi yang tinggi berbanding daerah lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan Program Peningkatan Pendapatan Petani Berskala Kecil dan Bantuan Tanaman Kontan B40 di Pejabat Kada Pasir Puteh di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Kamarudin, bancian susulan akan dilakukan di daerah lain mengenal pasti kerosakan yang dialami oleh petani. -K! ONLINE