TANAH MERAH – Seorang pengusaha bengkel ditemui mati dalam keadaan tergantung di bahagian pintu bengkel di Kampung Tepi Sungai, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md. Yusuf berkata, mangsa yang berusia 50 tahun itu ditemui oleh anak lelakinya di lokasi kejadian kira-kira pukul 9 pagi.
Katanya, polis bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian itu.
“Siasatan mendapati, anak mangsa menyedari kejadian itu sewaktu dia keluar untuk bekerja di bengkel itu yang terletak di hadapan rumah mereka.
“Ketika itu, mangsa ditemui tergantung di bahagian alang pintu hadapan sebuah bengkel dalam keadaan kaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Zainuddin, terkejut dengan kejadian itu, anak mangsa telah meminta pertolongan seorang lelaki untuk menurunkan bapanya sebelum memberi bantuan pernafasan, namun mangsa gagal diselamatkan.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk pemeriksaan lanjut.
“Siasatan lanjut mendapati, mangsa tinggal di sebuah rumah di hadapan bengkel itu bersama isteri dan lima orang anak.
“Punca kejadian yang menyebabkan mangsa menggantung dirinya di bengkel itu masih dalam siasatan,” katanya.
Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE