ISKANDAR PUTERI – Ode Jee, pengendali aplikasi penghantar makanan halal, telah menjalin usaha sama dengan lapan buah syarikat daripada pelbagai industri untuk membentuk sebuah konsortium yang dikenali sebagai Ode Halal.Asia.
Lapan syarikat berkenaan adalah Mars Global Sdn. Bhd. (Mars Global), Holistic Labs Sdn. Bhd., JT Lab Sdn. Bhd., AR Mechatronics Plt. Ltd, IM Digital Sdn. Bhd., Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), OSB Global Resources Sdn. Bhd. dan JME Resources Sdn. Bhd. (JME).
Pengerusi Ode Jee, Datuk Seri Ismail Alwasi Khan berkata, konsortium tersebut akan bekerjasama dalam pembangunan produk dan aplikasi, menganjurkan kursus dan melahirkan lebih ramai usahawan baharu menceburi industri halal.
“Konsortium ini juga berperanan meneroka pelbagai peluang baharu, bukan sahaja di peringkat negeri Johor dan Malaysia, malah di rantau Asia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis prapelancaran aplikasi Ode Jee dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Konsortium Ode Halal.Asia di sini semalam.
Majlis bersejarah itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Datuk Mohd. Izhar Ahmad.
Selain itu, Ode Jee turut menjalin kerjasama dengan syarikat Mars Global, Presma, OSB dan JME dalam pelbagai bidang termasuk pembekalan produk, pengukuhan vendor dan penghantar makanan.
Menurut Ismail, Ode Jee yakin semua kerjasama tersebut mampu membuka dan memberi peluang perniagaan serta pekerjaan baharu, khususnya untuk rakyat Johor.