KUALA SELANGOR – Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi melaksanakan pelbagai program dan aktiviti berilmiah di daerah ini.
Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat berkata, kerjasama julung kali itu meliputi pelaksanaan program berkaitan penyelidikan, akademik, kebudayaan, inovasi dan pelancongan.
“Inisiatif itu bertujuan mewujudkan hubungan lebih erat antara MDKS dan UiTM bagi menganjurkan program ilmiah dan bermanfaat.
“Jalinan kerjasama itu juga mampu membentuk aspirasi pembangunan dan persekitaran kondusif kepada warga Kuala Selangor,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Ibu Pejabat MDKS di sini, hari ini.
Terdahulu, Rahilah mewakili MDKS menandatangani MoU selama tiga tahun bersama Rektor UiTM Cawangan Selangor, Prof. Datuk Dr. Abu Bakar Majeed.
Turut hadir, Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Datuk Mohamad Yaacob Ismail dan Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM, Prof. Dr. Salehuddin Mohd. Zahari.
Tambah Rahilah, pihaknya mengharapkan kerjasama itu turut membantu menjadikan daerah ini mengekalkan kelestarian dalam pembangunan sosial, ekonomi dan fizikal.
“Aspek itu antaranya melibatkan pembangunan ekonomi hijau, pemeliharaan alam sekitar, penyelidikan, pembangunan desa, warisan dan pelancongan.
“Kerjasama dengan UiTM itu juga selaras dengan Visi MDKS iaitu Perbandaran Lestari, Masyarakat Sejahtera” ujarnya.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, universiti tersebut akan berkongsi kepakaran sedia ada untuk memberi sumbangan yang signifikan terhadap misi dan visi MDKS.
“Perkongsian itu turut akan merangkumi aspek pelancongan sama ada berkaitan agro, sukan dan pendidikan atau edu-tourism.
“Jalinan kerjasama itu bakal membawa kepada pelbagai inisiatif penyelidikan yang menghasilkan sinergi dan nilai akademi terbaik,” katanya. -K!ONLINE