PASIR MAS – Lima buah pusat pemindahan sementara (PPS) banjir masih lagi beroperasi di daerah ini bagi menempatkan 576 mangsa.
PPS itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kual, SK Tok Deh, Sri Rantau Panjang 2, Bakong dan Kedai Tanjong.
SK Sri Rantau Panjang 2 menjadi lokasi tertinggi yang menempatkan mangsa banjir iaitu seramai 201 orang.
Menurut laman web infobanjir.water.gov.my sehingga pukul 6 petang tadi menunjukkan, air Sungai Golok semakin menurun dan berada pada paras 9.57 meter.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati laluan dari simpang empat Kampung Banggol Kulim ke zon bebas cukai sudah boleh dilalui oleh semua kenderaan selepas air mulai surut sejak kelmarin.
Bagaimanapun, beberapa kawasan rendah di Rantau Panjang masih lagi dilanda banjir termenung.
Antara kampung yang masih ditenggelami banjir adalah Putat 7, Kubang Kuau, Kedai Lama, Banggol Kulim, Gual Tok Deh, Lubok Gong, Kedap dan Tersang. – K! ONLINE