KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang tular merompak wang RM15,000 daripada seorang lelaki sehingga dia berjaya ditahan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Bagaimanapun tertuduh S.Suresh Rao, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahyon Talib.
Mengikut pertuduhan, Suresh Rao didakwa telah melakukan rompak berkumpulan dengan bersenjatakan parang panjang terhadap seorang lelaki warganegara India Mohamed Ali Meeran Mydin dengan mengambil wang milik syarikatnya sebanyak RM15,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Metro Perdana Barat 2, Sentul di sini pukul 11.15 pagi pada 15 Disember lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd. Jafri mencadangkan jumlah ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan sorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali selain dilarang menganggu saksi-saksi pendakwaan.
Bagaimanapun peguam M. Madhavan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan jumlah ikat jamin yang rendah dengan alasan tertuduh hanya bekerja di kedai besi buruk merupakan pennaggung utama keluarga iaitu isteri dan tiga orang anak.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Mahyon membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan soerang pemjamin dan bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 Januari 2021 bagi sebutan semula kes.
Kosmo! pada 22 Disember lalu melaporkan tindakan seorang lelaki yang cuba meragut menggunakan sebilah parang memakan diri apabila dia bukan sahaja ditahan malah turut diacukan sepucuk pistol dalam kejadian di Jalan Metro Perdana Barat 2, di sini pada 15 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, suspek seorang warga tempatan berusia 34 tahun telah menghampiri seorang lelaki warga India sambil menghunuskan sebilah parang dengan tujuan untuk meragut.
Ujar beliau, suspek telah mengacukan parang tersebut ke leher mangsa berusia 36 tahun itu dan mengarahkan lelaki tersebut menyerahkan wang tunai sebanyak RM15,000 yang dibawanya.
Terdahulu, satu video berdurasi sembilan saat tular di laman sosial Facebook memaparkan seorang lelaki dipercayai suspek terbaring di atas jalan sambil diacukan dengan sepucuk pistol.- K! ONLINE