PETALING JAYA – Pelakon Kamal Adli bersyukur selepas kekasih hatinya, Uqasha Senrose, 28, menerima lamarannya pada malam Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020) pada malam Ahad lalu.
Menurut pemilik nama sebenar Ahmad Kamal Ahmad Adli, 34, lamaran tersebut dilakukan sebagai langkah pertama sebelum menghalalkan hubungan mereka.
“Yeay! Jawapan ya.
“Cuma hendak menghalalkan hubungan, bukan buat perkara tidak baik,” tulisnya ringkas dalam satu entri Instagram semalam.
Pelakon drama Black itu juga berterima kasih atas semua doa yang diberikan kepadanya dan Uqasha.
“Terima kasih atas doa itu dan yang lain saya serah pada Allah SWT, Amin,” katanya.
Terdahulu, Kamal membuat kejutan melamar Uqasha ketika mereka berdua menjadi penyampai dalam AME 2020 Ahad lalu.
Bagaimanapun, lamaran tersebut sebenarnya telah dirancang Kamal bersama Astro dan mendapat kebenaran keluarga Uqasha sendiri, namun tanpa pengetahuan aktres yang juga kakak kepada Nelydia Senrose itu.
Kamal dan Uqasha Senrose mula digosipkan bercinta sejak mereka digandingkan dalam drama Setelah Terlafaznya Akad arahan Michael Ang.
Gosip cinta mereka semakin bertiup kencang apabila kembali digandingkan sebagai teraju utama menerusi drama Perempuan Tanpa Dosa yang berakhir siarannya bulan lalu.
Pada Oktober lalu, Kamal dan Uqasha dalam sebuah video yang dikongsikan pengarah drama terbabit, Michael Ang dan mengakui ada menghadiri kursus pra-perkahwinan.
Biarpun telah membuat lamaran secara terbuka, namun sehingga kini, mereka belum membuat pengesahan lanjut tentang perancangan perkahwinan mereka. – K! ONLINE