DORTMUND – Legenda Jerman, Lotthar Matthaus percaya bintang sensasi Borussia Dortmund, Erling Haaland sudah bersedia untuk meninggalkan kelab itu untuk mencari cabaran yang lebih hebat.
Penyerang Norway itu berada pada prestasi terbaik apabila meledak 17 gol dalam 14 perlawanan musim lalu.
Ketajamanannya itu membuatkan dua pasukan berseteru di England, Manchester City dan Manchester United memantaunya secara dekat dan mengintai peluang untuk mendapatkan tandatangannya.
“Dia telah membawa impak positif ke dalam pasukannya ketika ini dan ia membuatkan saya terfikir bahawa dia mungkin tidak akan bersama Dortmund lagi dan perlu mengembangkan lagi kariernya di tempat lain.
“Saya fikir dia sudah bersedia untuk langkah seterusnya dan kami bangga untuk memiliki seorang pemain terbaik sepertinya di Bundesliga,” jelasnya.
Musim ini menyaksikan Haaland berjaya meledak 10 gol dalam lapan aksi Bundesliga sementara mengumpul empat gol pada saingan Liga Juara-Juara.
Haaland memiliki klausa pelepasan bernilai £65 juta (RM353.90 juta) yang boleh diaktifkan bermula 2022, namun Dortmund mampu untuk mendapatkan nilai yang lebih tinggi jika bijak mengendalikan urus niaga perpindahan itu kelak.
Matthaus juga percaya kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya bakal membuat pembelian berbaloi kerana dia memiliki reputasi dan potensi besar selain menganggap Haaland adalah jelmaan baharu Robert Lewandowski. – AGENSI