LANGKAWI – Beberapa gambar tular di Facebook memaparkan rak jualan pelbagai jenama coklat import yang kosong kerana didakwa habis diborong pengunjung hanya berlaku di sebuah premis di Pekan Kuah di sini.
Tinjauan yang dilakukan di beberapa premis bebas cukai lain terletak berhampiran mendapati bekalan coklat masih ada.
Pekerja premis itu yang enggan dikenali memberitahu, kebanyakan coklat yang kehabisan stok adalah daripada jenama terkenal.
“Biasanya coklat jenama popular itu akan diborong dalam kuantiti yang banyak oleh pelanggan.
“Stok coklat jenama lain masih ada dan bagi coklat yang habis, stok baharu akan sampai pada Sabtu ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang pelancong dari Selangor, Rohani Embong, 56,berkata, ada beberapa jenama coklat yang ingin dibelinya telah kehabisan stok di premis berkenaan.
“Saya selalunya ke kedai ini untuk membeli coklat dan rasa sedikit kecewa kerana ada beberapa jenama coklat yang saya inginkan telah habis,” katanya.
Kejadian sama pernah berlaku pada Ogos lalu apabila satu jenama coklat import kehabisan stok.
Pulau Langkawi kini meriah apabila jumlah pelancong meningkat selepas kerajaan membenarkan orang ramai merentas negeri kecuali bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada awal bulan ini. – K! ONLINE