JOHOR BAHRU – Seorang bapa sanggup membawa anak lelakinya yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia empat tahun dalam melakukan beberapa siri jenayah bersenjatakan pisau panjang di sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, suspek turut bertindak mengugut untuk mencederakan anaknya menggunakan pisau sebelum ditahan polis.
Ujarnya, suspek yang berusia 28 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan antara suspek dan polis.
“Terdahulu, pada pukul 12.10 tengah malam semalam, suspek membawa anak lelakinya sebelum mengancam dan melarikan sebuah kereta milik seorang lelaki warganegara Indonesia di Taman Air Biru, Pasir Gudang.
“Kemudian pada pukul 12.50 tengah malam, suspek sekali lagi membawa anaknya dan menyamun seorang wanita gelandangan berusia 55 tahun di Dataran Larkin sebelum bertindak menculik mangsa.
“Mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri selepas kenderaan tersebut kehabisan minyak dengan mendapatkan bantuan seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah sekitar Pasir Gudang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini hari ini.
Tambah Shahrulanuar Mushaddat, mangsa kemudiannya sekali lagi membawa anaknya untuk menyamun dua pekerja sebuah stesen minyak warga Bangladesh di Pasir Gudang pada pukul 3 pagi.
“Setelah polis menerima maklumat berkaitan kejadian tersebut, operasi bersepadu dijalankan untuk memburu suspek yang ditemui di kediamannya, di Taman Air Biru, pada pukul 8 malam.
“Suspek yang menyedari kehadiran polis kemudian bertindak mendukung anaknya dan mengugut untuk membunuh anaknya jika polis menghampirinya,” ujarnya lanjut.
Beliau turut berkata, polis mengambil masa kira-kira dua jam untuk memujuk dan mententeramkan suspek namun gagal sehingga memaksa polis menggunakan kekerasan yang munasabah dan bersesuaian untuk menyelamatkan anak suspek.
Shahrulanuar Mushaddat turut memberitahu, pihaknya percaya suspek berada dibawah pengaruh dadah ketika melakukan jenayah tersebut, selain turut mengalami masalah keluarga.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana melakukan percubaan membunuh.-K! ONLINE