GEORGE TOWN – Bekalan barangan keperluan termasuk bawang dijamin mencukupi di seluruh negeri ini menjelang sambutan Hari Krismas Jumaat ini.
Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Ridzuan Mat Isa berkata, pihaknya tidak menerima aduan mengenai kekurangan untuk semua barangan keperluan di pasaran setakat ini.
“Bekalan barang keperluan pada Hari Krismas dijamin mencukupi dan harga barangan juga stabil.
“Pihak kami juga melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2020 sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan itu,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.
Dalam pada itu, Ridzuan berkata, pihaknya turut mendapati bekalan bawang yang sebelum ini terjejas berikutan masalah cuaca di India telah kembali pulih di negeri ini dan harga kembali stabil. – K! ONLINE