fbpx

Ain hamil, suami tambah romantik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AIN EDRUCE

LUMRAH setiap pasangan yang sedang meniti alam rumah tangga, masing-masing mahu memiliki zuriat bagi menyerikan keindahan mahligai yang dibina.

Pelakon dan juga pengacara tinggi lampai, Ain Edruce juga tidak terkecuali. Tiada kata dapat digambarkan olehnya saat disahkan berbadan dua.

Enggan terlalu teruja mendedahkan perkara tersebut kepada umum, Ain menunggu sehingga November lalu untuk membuka mulut kepada umum. Pada masa sama, benih zuriat dalam rahim sudah berusia empat bulan.

Kata Ain, awalnya tidak percaya sedang hamil memandangkan sepanjang tempoh tersebut, dia sangat aktif dan terlibat dengan sukan lumba kereta bersama Toyota.

Pemilik nama sebenar Nurulain Edruce itu menambah, dia juga melakukan senaman berat seperti biasa kerana tidak tahu dia sedang hamil ketika itu.

“Sebenarnya apa yang membuatkan saya tergerak hati untuk membuat ujian kehamilan selepas melihat keadaan suami yang tiba-tiba mengalami muntah-muntah dan loya.

“Sebelum ini pernahlah saya terdengar tanda-tanda kehamilan itu ada yang berpindah pada suami dan alhamdulillah rupa-rupanya benar saya hamil,” katanya.

PELAKON dan juga pengacara ini bersyukur kerana tidak berdepan dengan perkara-perkara sukar ketika hamil.

Suami romantik

Gara-gara terlalu teruja dan tidak sabar, Ain yang mulanya merancang untuk menyembunyikan seketika berita bahagia tersebut daripada pengetahuan suaminya, Amirul Hafiz Mustaffa, akhirnya membuka mulut pada hari yang sama.

Tambahan pula, dia dan suami sedang dalam perancangan untuk bercuti ke Pulau Langkawi.

“Semasa beritahu suami, usia kandungan baru sahaja mencecah antara dua hingga ketiga minggu. Suami sangat gembira bila dapat tahu saya hamil.

“Apa yang paling seronok ketika hamil, suami tiba-tiba berubah menjadi seorang lelaki yang romantik dan rajin menyediakan sarapan untuk saya,” ujarnya teruja.

Adat bagi wanita mengandung apabila didatangi mengalami keinginan berbeza atau mengidam sesuatu makanan. Bagi Ain, dia pula mengidam untuk menikmati tose setiap hari selama dua minggu ketika minggu awal kehamilan.

“Setiap hari ketika sarapan saya akan makan tose. Nasib baik saya tidak mengidam benda yang pelik-pelik,” katanya.

Tidak meletakkan sebarang sasaran tentang soal jantina, Ain dan suaminya tidak kisah bayi yang bakal lahir nanti sama ada lelaki atau perempuan.

Malah, kedua-dua pasangan itu juga tidak mahu membuat ujian imbasan kehamilan bagi mengetahui jantina anak mereka yang dijangka lahir pada April tahun hadapan.

“Asalkan anak saya sihat semasa bersalin nanti, perkara itu sudah cukup membuatkan saya dan suami gembira,” kata Ain.

AIN memperlahankan rentak seninya sebagai pelakon dan hanya mengendalikan tugas sebagai pengacara selepas mengetahui dirinya hamil sejak Ogos lalu.

Ubah perangai

Ketika kandungan sudah melepas usia lima bulan, Ain mula memperlahankan rentaknya dalam bidang lakonan dan hanya melakukan kerja sebagai pengacara kerana waktunya yang lebih singkat dan santai.

Wanita yang sinonim dengan perangai ‘gila-gila’ itu mendakwa pernah diminta peminatnya untuk berubah sikap, lebih-lebih lagi dia bakal bergelar seorang ibu.

“Tidak dinafikan saya terima banyak pesanan yang menyuruh saya supaya berubah sikap selepas menjadi isteri. Perangai dah tak boleh ‘gila-gila’ lagi.

“Tetapi bagi mereka yang kenal saya, mereka akan tahu saya jenis orang yang selalu teruja,” ujarnya.

AIN dan suaminya, Amirul enggan mengetahui jantina anaknya yang bakal lahir nanti dan tidak terlalu memikirkan sama ada anaknya kelak lelaki atau perempuan.

Bukan tidak pernah cuba berubah sikap, namun pelakon berusia 29 tahun itu menyedari perangainya tetap sama.

Karakter pelakon yang pernah membintangi drama Suluhkan Aku Cahaya itu seolah-oleh tidak boleh berubah.

Tidak mahu memeningkan kepala, Ain berkata tiada sebab untuk dia berubah perangai, malah isu perangainya yang ‘gila-gila’ itu bukanlah masalah besar buat diri dan keluarganya.

“Ain ialah Ain. Kalau saya dengar cakap orang mungkin sejak dulu lagi saya dah berubah perangai jadi seorang wanita yang lemah-lembut,” tutupnya.

SELEPAS disahkan hamil, Ain mendakwa suaminya berubah menjadi seorang lelaki yang romantik dan lebih mengambil berat.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI