LONDON – Pelumba Perancis, Johann Zarco mengakui musim lalu adalah tempoh untuk dia mengutip pengalaman memahami karakter liar jentera Ducati dan bertekad untuk memburu kemenangan pertama bersama jentera buatan Itali tersebut pada musim depan.
Tahun pertama mengemudi jentera Ducati, Zarco menerima pujian selepas dilihat tiada masalah untuk mengemudi jentera tersebut selepas melakukan kejutan menaiki podium tempat ketiga Grand Prix (GP) Republik Czech.
Kecemerlangan itu membolehkan pelumba berusia 30 tahun tersebut menyertai pasukan Pramac Racing pada musim depan dan akan menggunakan jentera Desmosedici GP21 dengan bantuan pengeluar Ducati secara penuh.
“Musim 2020 adalah tahun menarik buat saya untuk memahami karakter jentera Ducati. Meskipun pada mulanya dilihat sukar tetapi saya mula dapat membiasakan diri dengan jentera ini.
“Apapun saya sangat teruja untuk memulakan saingan 2021 selepas mendapat kepercayaan penuh Ducati untuk menunggang jentera GP21. Sudah pasti sangat berbeza dan saya harap mampu memberi saingan semula,” kata Zarco.
Zarco menyertai kelas utama MotoGP pada 2017 selepas dua gelaran berturut-turut dalam saingan Moto2. Selepas menyertai KTM pada 2018, prestasinya menurun sebelum meninggalkan pasukan Austria tersebut pada September tahun lalu.
“Saya tidak mahu fikir mengenai musim lalu dan saya mahu ambil sebagai pengajaran terbaik. 2021 saya ada misi tersendiri dan bertekad untuk memburu sebanyak podium yang boleh,” tegas Zarco. – AGENSI