]KLANG-Penderitaan adik Arsyad Ruzin,16, yang dilaporkan Kosmo! dua minggu lalu mendapat perhatian usahawan kosmetik U2 Beauty FVR, Kamariah Yaacub yang hadir sendiri ke rumah keluarga Arsyad di Sungai Kandis kelmarin.
Kamariah berkata, beliau amat terharu membaca kisah Arsyad yang kini terlantar di katil setelah menjalani pembedahan akibat ketumbuhan dalam otak.
“Saya terbaca laporan berita tentang penderitaan adik Arsyad di dalam akhbar Kosmo! dan berasa terpanggil untuk melawatnya.
“Sebagai usahawan jenama kosmetik baharu kita berhasrat untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan seperti adik Arsyad,”katanya kepada Kosmo! di sini.
Kamariah berkata, pihaknya menyampaikan bantuan beberapa tin susu formula, lampin pakai buang serta wang tunai kepada ibu Arsyad, Mulyana Mokmin,42.
Sementara itu, Mulyana berkata, pihaknya mengzahirkan rasa syukur atas kunjungan pihak U2 Beauty FVR ke rumahnya.
Ujarnya, tahap kesihatan Arsyad masih sama iaitu hanya mampu berkomunikasi dengan kelipan mata dengan sesiapa yang cuba berbual dengannya.
“Setiap kali menonton kartun Boboiboy sinar matanya menunjukkan rasa keterujaan sebagaimana sebelum dia jatuh sakit dan dibedah tahun lalu.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak U2 Beauty FVR dan pihak Kosmo! yang sudi membantu Arsyad ,”katanya.-K!ONLINE