JAGUH negara, Azizulhasni Awang gembira dengan kejayaan penutup musim 2020 dan berharap kemenangan di Australia mampu melonjakkan semangatnya untuk melakukan persiapan ke temasya Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.
Raja Keirin Malaysia itu membuktikan dia terus berbisa apabila berjaya merangkul pingat emas di Kejohanan Kebangsaaan Australia dalam acara kierin kelmarin meskipun sembilan bulan tanpa sebarang pertandingan kompetitif.
Kali terakhir Azizulhasni beraksi dalam kejohanan kompetitif ketika dia meraih pingat gangsa dalam acara final keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin, Jerman pada Februari lalu.
Sudah pasti kemenangan di Australia dan Berlin membuktikannya berada di landasan tepat untuk sekurang-kurangnya mengekalkan pingat gangsa yang diraihnya di Olimpik Rio 2016 pada Olimpik Tokyo nanti.
“Saya rasa amat gembira dengan prestasi di kejohanan ini yang mana merupakan kejohanan pertama selepas sembilan bulan tanpa sebarang kejohanan akibat pandemik Covid-19 di Melbourne, Australia.
“Bagi saya kemenangan yang saya peroleh semalam merupakan penutup yang manis untuk tahun 2020 yang penuh dengan cabaran,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, Azizulhasni turut mengakui kejayaan di Australia menunjukkan pasukan negara dalam landasan terbaik untuk menuju ke Olimpik Tokyo.
“Berdasarkan prestasi ini, ia menunjukkan jelas yang pasukan lumba basikal trek berada di landasan yang betul dan terus konsisten dalam misi ke Sukan Olimpik Tokyo,” tambahnya.
Dalam saingan tersebut, rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut cemerlang apabila merangkul pingat gangsa dalam acara yang sama.