fbpx

K2

‘Terapi’ koleksi mata wang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL WHALID (kanan) dan Sherina menunjukkan koleksi wang peringatan Malaysia, Filipina, Brunei dan Singapura yang menjadi koleksi pasangan suami isteri itu.

DUIT lama mungkin dianggap tiada nilai bagi sesetengah orang, namun bagi seorang usahawan di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru hobi mengumpul mata wang daripada pelbagai negara sebagai terapi minda buatnya.

Bagi Abdul Whalid Mohamad Shariff, setiap kali matanya memandang koleksi mata wang yang dikumpulkan, fikirannya menjadi tenang dan lari dari memikirkan soal kerja.

Pemilik perusahaan rempah AMS yang kini menjengah usia 51 tahun itu berkata, minat membuat koleksi wang timbul ketika di bangku sekolah lagi iaitu pada usia tujuh tahun.

Mengimbau kembali memori 44 tahun lalu, Abdul Whalid berkata, ketika itu dia sering menjumpai duit syiling di tepi jalan.

“Saya tak ingat duit syiling berapa sen, tapi bermula dari situ saya terus kumpul walaupun jumpa duit satu sen.

“Sejak dari situ minat kumpul duit mula timbul dan saya menjadikannya satu hobi sampai ke hari ini,’’ jelas ketika ditemui K2 di kediamannya baru-baru ini.

Abdul Whalid berkata, dia berkongsi hobi itu bersama isteri tercinta, Sherina Hassan, 47, malah memperuntukkan aktiviti itu sebagai pengisian masa berkualiti bersama keluarga.

Kini, keluarga itu memiliki lebih 100 mata wang lama dan terbaharu termasuk dari pelbagai negara antaranya Filipina, Kuwait, Arab Saudi, Singapura dan lain-lain.

Sebut saja dari negara mana, Abdul Whalid ada menyimpannya.
Menurutnya, perkara pertama apabila sampai ke negara yang dilawati, dia akan menuju ke bank untuk mencari wang bagi tujuan membuat koleksi.

Jelas bapa kepada tiga cahaya mata itu, untuk menjadi pengumpul duit memerlukan modal yang besar kerana pada kebiasaannya penjual akan menjual dengan harga yang tinggi terutama duit lama atau salah cetak.

 

ABDUL WHALID turut mempunyai koleksi wang-wang kertas yang bercantum dari pelbagai negara.

 

“Saya mempunyai ramai rakan yang mempunyai hobi yang sama dari negara Asia Tenggara terutama Indonesia dan Thailand.

“Kami saling berhubungan melalui media sosial iaitu Facebook untuk bertanyakan sekiranya ada duit yang baharu atau lama,’’ ujarnya.

Antara koleksi dalam simpanannya ialah wang kertas tersalah cetak, nombor bersiri, wang kertas bercantum, tiada gambar Agong, ejaan lama dan wang kertas paling besar.

“Wang kertas terbesar di dunia adalah dari Malaysia yang juga ada dalam simpanan saya iaitu wang kertas bernilai RM600 berukuran 8.6 inci x 14.5 inci yang dibeli pada tahun 2018,” katanya.

Menurutnya, wang kertas itu dicetak oleh Bank Negara hanya sebanyak 6,000 keping.

Rekod dunia yang boleh dianggap baharu itu sudah pasti akan menjadi satu tarikan sekali gus menyemarakkan aktiviti numismatik bukan sahaja di dalam negara tetapi turut menarik minat pengumpul dari seluruh dunia.

Selain duit Malaysia terbesar, Abdul Whalid turut menyimpan wang kertas terbesar dari negara Filipina bernilai 100,000 peso dibeli dengan harga RM16,000.

Sementara itu, Sherina berkata, tempat yang paling mudah untuk menukar atau menemui mata wang dari negara asing adalah ketika berada di Mekah atau Madinah, Arab Saudi.

Jelasnya, ini kerana umat Islam dari seluruh pelosok dunia akan datang ke negara Arab itu untuk mengerjakan umrah dan haji.

“Kami juga merasa cukup puas apabila dapat menjadi pembeli pertama wang baharu Malaysia saat ia dikeluarkan. Inilah yang dikatakan terapi minda buat kami,’’ katanya mengakhiri pertemuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI