PUTRAJAYA – Seorang wanita berusia 53 tahun meninggal dunia pada 15 Disember lalu di Sarawak akibat rabies, menjadikan jumlah kes tersebut dalam kalangan manusia di negeri itu meningkat kepada sembilan orang pada tahun ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, wanita tersebut dari daerah Selangau, Sibu dimasukkan ke wad di Hospital Sibu pada 8 Disember dengan gejala sesak nafas dan batuk.
“Dia juga mengadu sakit tekak, demam dan lemah badan selama tiga hari sebelum dimasukkan ke wad serta meninggal dunia pada 15 Disember dengan diagnosa rabies meningoencephalitis.
“Diagnosa tersebut disahkan dengan ujian makmal positif rabies oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 17 Disember 2020,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini wanita tersebut pernah digigit oleh anjing peliharaannya di bahagian jari pada Oktober lepas, namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan. -K! ONLINE