fbpx

Polis rampas kayu gaharu RM2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah menunjukkan kayu gaharu yang dirampas di salah sebuah premis perniagaan di Taman Puncak Jalil hari ini.

SERDANG – Polis daerah ini berjaya menumpaskan kegiatan memproses kayu gaharu secara haram yang beroperasi di tiga buah premis di Taman Puncak Jalil dekat sini pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 8.30 pagi itu, sebanyak 10 batang pokok gaharu, 16 guni habuk kayu gaharu, 37 tong cecair kayu gaharu dan 10 kilogram kulit kayu gaharu bernilai lebih RM2 juta dirampas.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, kegiatan memproses kayu gaharu secara haram tersebut dipercayai telah beroperasi sejak tahun 2018.

“Polis menahan empat individu berusia antara 30 hingga 50 tahun dalam serbuan itu termasuk sepasang suami isteri warga asing yang merupakan pekerja premis berkenaan.

“Polis turut menahan pemilik premis iaitu seorang lelaki berusia 58 tahun. Kayu gaharu ini diproses untuk menjadi minyak wangi, arca atau colok dan dipercayai untuk dieksport.

“Premis ini berselindung disebalik pendaftaran perniagaan memproses cuka kayu getah dalam menjalankan kegiatan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan hari ini.

Razali berkata, kegiatan haram itu dikesan selepas polis menerima empat laporan berhubung aktiviti mencuri kayu gaharu dalam daerah Serdang pada penghujung Oktober lalu.

Menurut beliau, polis bersama pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Selangor kemudian melakukan pemeriksaan di Hutan Simpan Air Hitam dan menemui kesan beberapa batang pokok gaharu ditebang.

Kata beliau, risikan polis seterusnya menemui tiga premis memproses kayu gaharu tersebut sebelum serbuan dilakukan hari ini.

Jelas beliau, kesemua yang ditahan akan didakwa dibawah Seksyen 84 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang memperuntukkan denda maksimum RM200,000, penjara 10 tahun atau kedua-duanya.

“Pemilik premis gagal membuktikan dia ada kebenaran memindahkan hasil hutan. Dia mendakwa membeli kayu gaharu daripada penjual di Pahang, namun siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI